Thursday, June 4, 2015

Mimpi 21

21


“Macam mana?”

Julie bungkam. Dia lansung tidak pernah menyangka akan kewujudan bilik ini sepanjang dia berulang alik dari Brynn ke Darmadin. Walaupun ia kecil dan tampak kelam namun suasana sekeliling bilik itu memberikan rasa yang berbeza. Ditambah pula dengan teduhan pokok dari luar, membentuk bayang-bayang di dalam bilik ini melalui balkoninya yang luas, ia menjelaskan kenapa Allisa sering ke sini. Yang menjadikan bilik ini satu keajaiban ialah dia tidak nampak satu habuk pun menetap di dalam bilik ini atau dia sudah rabun?

“Awak seorang aja yang tahu bilik ni?” soalnya sambil matanya mengkagumi reka bentuk pendiang api yang terbina cantik penuh degan elemen bumi yang kukuh dan vintaj.

Allisa mengetap bibirnya. “Ha...’ah. Hee.” Senyumannya seperti hendak tidak hendak. Nasib Julie membelakangkan dia. Jika tidak, susah juga dia. Dia bukannya pandai menipu. Sebab itu dalam perihal statusnya dia lebih suka serahkan pada Julie dan Juliane untuk menipu bagi pihaknya. “Tapi saya tak tahulah kalau mungkin ada orang lain yang tahu... sebab selama saya melawat sini, saya tak terserempak dengan sesiapa lagi.” Dia gigit lidahnya.

Julie yang pada ketika itu sudah beralih pada kertas dinding yang menghiasi dinding bilik itu (mata bersinar-sinar) menerima kenyataan dari mulut Allisa tanpa banyak soal. Dia menggosok-gosok jari telunjuknya pada kertas dinding itu. Menakjubkan!

“Awak tahu All, macam tak percaya yang bilik ini boleh kekal bersih tanpa ada sesiapa pun tahu kewujudan bilik ni. Atau awak yang bersihkan?” canda Julie.

Allisa tersengih. Dia memilih untuk tidak menjawab. Sebaliknya dia membuka pintu yang membawa ke balkoni bilik itu. Ini adalah kali pertama dia menjenguk ke luar memandangkan setiap kali dia ke sini ialah pada waktu malam dan bila sedar, dia terus ke biliknya untuk bersiap (tidak selesa dengan gigi tidak bergosok dan wajah yang melekit, apatah lagi orang melihatnya sebegitu). Dia menghirup udara tengah hari itu sedalam mungkin lalu dihembusnya sedikit demi sedikit membawa bersama rasa sedih yang masih ada berbaki di hatinya. Keadaan di luar itu tampak sedikit bersepah dengan daun-daun kering dan air yang bertakung di pinggir balkoni juga beberapa tempat yang sudah ditumbuhi lumut. Dia cuba untuk mengintai ke bawah namun bila pokok sena melatari setiap tepi balkoni, dia hanya mampu untuk lihat samar-samar permukaan tanah di bawah.

“Cantik!”

Allisa tersenyum senang melihat gadis berambut coklat dengan ketinggan lima kaki lima itu bersorak suka setelah menjumpai tempat yang diingininya. Tak sia-sia dia menunjukkan tempat ini pada Julie apabila pada mulanya gadis itu mahu melakar potretnya di balkoni biliknya namun dia tolak mentah-mentah bila soal dirinya menjadi model utama dalam potret itu. Lebih-lebih lagi Julie menegasnya untuk menyarung gaun debutnya. Sudah tentulah dia tidak mahu. Boleh kata mereka bertelagah dengan kuat juga di dalam pedati itu sehingga joki yang memandu pedati itu pun dengar setiap butir pertelagahan mereka. Namun bila mereka tiba di rumah agam itu mereka capai kata sepakat untuk ikut tempat pilihan Allisa dan sebagai balasannya dia akan ikut permintaan Julie.

“Ia akan nampak elegan dan penuh fantasi. Tangan saya dah gatal nak pegang berus!” ujar Julie sambil tangannya teramas-ramas sesama mereka. Hatinya melonjak gembira. Dia akan lakar tempat ini umpama taman syurga dengan bidadari yang sedang menunggu putera kayangan. Cinta romantik yang penuh dengan kisah tragis dan watak utamanya ialah Allisa. Visi penglihatan Julie sudah ditaburi bunga-bunga daisy putih dan kuning. Dia akan bawa memori lima tahun lalu ke dalam kanvasnya dan dia akan olahnya menjadi lebih indah dan manis untuk Allisa.  


SETELAH lima jam dia duduk di posisi yang sama tanpa menggerakkan apa-apa bahagian obdomen badan kecuali tangannya yang menyelak helaian muka surat novel yang dia baca, dia menggerak-gerakkan sendi lehernya ke kiri dan kanan. Sesekali matanya mengintai Julie yang tekun di hadapan papan kanvasnya yang sedari tadi tidak berganjak dari bangkunya tenggelam dalam dunianya yang tidak bertepi. Kadang-kadang Allisa sendiri cemburu dengan dunia Julie yang satu itu kerana gadis itu bila dia betul-betul jauh di dasar pemikirannya, tiada siapa dapat membaca seurat kerut di dahinya itu. Manakala buat Allisa yang lebih gemar melakukan aktiviti beriadah dan meluangkan masa dengan membaca novel waima kata-kata puitis dari penulis terkenal negara. Pada bahagian itu sahaja dia dan Julie berkongsi minat. Dunia penulisan yang tidak pernah berpenghujung. Jauh jalan penerokaan sehingga bila mereka jumpa persamaan hobi mereka, mengetahui bidang genre mereka berlainan. Allisa lebih kepada novel bersifat romantis dan kisah liku kehidupan dan buat Julie pula, gadis itu lebih menumpukan minatnya pada fantasi dan aksi. Namun mereka kurang gemar novel bergenre seram dimana mereka masing-masing ialah penakut.

“Jul, lambat lagi ke?”

Senyap.

Dahi Julie berkerut. Fokus.

Allisa ketawa kecil. Dia sudah biasa dengan riaksi gadis itu. Dia yang sering menjadi model untuk potret lakaran Julie serba sedikit dia dapat baca gerak kerja sahabatnya itu. Lantas dia ambil respons itu sebagai jawapan yang Julie perlukan sedikit masa lagi untuk menyiapkan potretnya di mana kebiasaannya gadis itu akan menyiapkan potretnya dalam anggaran kasar sehingga tiga atau empat hari tanpa mandi dan makan jika ianya bergantung pada imaginasi gadis itu sendiri. Pernah juga sahabatnya itu meninggalkan lakaran yang tidak siap sehingga dua tahun lamanya kerana inspirasi untuk petak kanvas itu lari entah ke mana. Jawapan Julie yang tidak pernah membosankannya.

Tiba-tiba matanya menangkap satu objek... tidak seseorang yang berada di aras dua di tepi tingkap yang mengahala ke arah arah matahari terbit. Dia memusingkan badannya sedikit agar penglihatannya sedikit jelas memandangkan seseorang yang dia lihat dari tadi seperti satu bayang-bayang. Semakin dia ke hadapan semakin semakin dia tidak dapat mengetahui milik siapakah badan belakang yang dia nampak sejak tadi membuatkan hatinya menggumam geram dan penuh rasa tidak puas.

Julie berdeham. “Hati-hati All. Jatuh nanti...”

Allisa pantas balik ke posisinya. Bibirnya terukir senyuman nakal. “Maaf,” mohonnya. Sedar yang dia telah membuatkan proses persiapan potret Julie sedikit terbantut dan mungkin juga dia terlalu ke hadapan sehingga dia tidak sedar yang dia hampir jatuh dari kedudukannya yang berada di atas pembahagi balkoni. Namun selepas ditegur oleh Julie, dia tetap berbuat demikian. Matanya galak mencari siapakah milik tubuh yang dia lihat itu. Hatinya tertanya-tanya. Situasi ini tidak ubah seperti mana-mana plot dalam novel yang dia sering baca dan selalunya pada bahagian-bahagian seperti ini (dia mengandaikan dirinya ialah heroine) watak hero akan menjelma dan menjadi pemilik tubuh yang diintai. Tetapi heronya (Juliane) sudah pulang ke Brynn. Jadi kemungkinan ini ialah hero yang kedua dan hero itu ialah...

Lidah Allisa kelu. Jantungnya berdetak hebat saat ini bila bebola matanya dapat mengesan pemilik wajah yang kini sedang berdiri menghadap ke arahnya. Dia jadi serba tidak kena bila tertangkap dalam keadaan sebegitu dalam pakaian yang sebegini.

“Sayangnya, saya teringin nak lihat awak pakai gaun. Pasti cantik.”

Walaupun bukan secara keseluruhannya tetapi tahniah Encik Scot kerana awak dah pun dapat melihat apa yang awak mahu lihat! Allisa tidak senang duduk. Kejadian pagi tadi masih lagi berbekas di hatinya dan sekarang perkara seperti ini pula. Dia menyesal memikirkan yang situasi ini mirip dalam plot novel. Situasi ini lansung menduka citakan hati dan mindanya!

“Jul...”

“Kenapa All?” soal Julie yang dapat mengesan perubahan mood Allisa yang mendadak berdasarkan pada suara gadis itu walaupun di matanya masih lagi melekat di dada kanvas.
Allisa berasa ragu-ragu. Dia tanpa sedar telah memanggil nama sahabatnya dan kini dia berasa serba salah. Hanya kerana dia mahu lari dari posisinya, lari dari pandangan Daniel... dia hanya akan menyusahkan Julie setalah Julie pula bersusah payah untuk menceriakan harinya dengan berbuat begini.

“Saya nak lukis awak dalam pakainan yang paling awak suka sekali. Saya nak buat awak gembira, All.”

Dia mengetap bibirnya. Kata-kata Julie di biliknya sebentar tadi terngiang-ngiang di telinganya. Sanggupkah dia memusnahkan usaha orang yang cuba menceriakan harinya lebih-lebih lagi orang itu sahabat baiknya yang dia kenal sejak dia berumur 3 tahun. Dia menarik nafasnya sedalam mungkin. Apabila matanya bertemu pandang dengan anak mata hazel milik Julie, dia mengukir senyum manis.

“Saya tak sabar nak tengok hasil lukisan awak.”


DANIEL menongkat dagunya. Semenjak dia duduk di kerusi menghadap meja di bilik bacaannya, mindanya asyik memutar memori malam semalam sehingga mengganggu kosentrasinya untuk bekerja. Adakalanya dia memutar-mutar pen di tangannya, mata merenung kosong ke siling batu. Wajah lena Allisa seperti melekat di siling itu namun sekejap cuma wajah tenang itu bertukar resah. Bibir gadis itu mengomelkan sesuatu yang dia tidak fahami dan terus menarik perhatiannya meskipun hatinya berdetak kuat, menahannya dari terus mendekati kegelisahan Allisa. Tiba-tiba mata yang terpejam itu celik bersama linangan air mata yang mengalir dalam senyap. Jatuh titis demi titis. Iris gelap itu melekap pada wajahnya yang pada waktu itu kaget dengan kejutan itu. Bibir mongel itu bergerak-gerak, masih lagi berkata dalam bahasa yang sukar dia fahami, sukar juga untuk dia menyebutnya. Aneh, dia mampu mengingati setiap bait kata yang di ucapkan gadis itu.

“Toki ga kuraba, S...”

Badan Daniel menegak. Mindanya tiba-tiba bercelaru. Hujung lidahnya masih berdesir. Cuba mencapai perkataan yang tergantung tinggi di lelangit mindanya.

“S...” Dia masih terus mendesir. Dia yakin yang dia tahu perkataan yang seterusnya. Mindanya dikerah. Setiap fail memori digeledah.

“S...” Dia pasti perkataan seterusnya bermula dengan konsenan ‘S’. Dia yakin!

“Ahh!”

‘Bam!’ Permukaan mejanya dihentak kuat. Kepalanya tertunduk. Ayat ‘Toki ga kuraba’ yang dia tulis di atas diarinya ditenung lama. Dia merentasi memorinya, masih cuba untuk mengingati walaupun jelas sekali bila tiba di titik yang dia jangka, dia menjadi kecewa. Kepalanya diramas menjadikan rambutnya sedikit liar. Dahinya diurut perlahan. Mata terpejam. Putaran pen diteruskan. Kerjanya lama terbengkalai di dalam laci mejanya.

“Toki ga...” Dia menulis semula. “... kuraba...” Bibirnya diketap. Huruf ‘S’ dilakarnya dan diikuti bebrapa titik dot sebelum dia menyambung dengan perkataan yang bergema semula. “... denwa kuda – sai?”

Batang pen terus berputar. Dia mula berasa tidak yakin dengan dirinya. Sepatah haram dia lansung tidak memahami setiap patah kata yang ditulisnya. Tiada satu pun perkataan yang dikenalinya melainkan perkataan ‘kuda’ di dalam ayat tersebut. Adakah kata-kata Allisa malam tadi ada berkaitan dengan kuda? Dia cuba merelevankan perkataan kuda itu dengan ayat seterusnya. “Kuda saya? Allisa ada kuda?” Daniel mengutuk dirinya. Setiap keluarga besar mestilah ada kuda! Dungu! Dia kembali memikirkan kemungkinan lain. Berulang-ulang dia melihat baris ayat itu.

Atau ini adalah bahasa asing yang dia tidak pernah ketahui. Mungkin bahasa rasmi di Brynn memandangkan Allisa berasal dari Brynn (seingatnya). Tetapi tidak pula dia dengar Julie berbahasa dalam bahasa asing ini di hadapan Allisa.

Pening. Pening. Pening.

Dairinya ditolak tepi sebagaimana kerja-kerjanya yang sebelum ini diabaikan. Lantas dia bangun. Tubuhnya direngang. Perutnya sebu sementelah tengah hari tadi dia tidak turun makan. Apalah kata orang tuannya memikirkan dia masih lagi tekun menyudahkan kerja yang dia jarang ambil kisah yang sebenarnya duduk termenung terkenangkan hak orang lain.  

“Daniel?”

Panggilan Allisa pagi tadi menggamit rasa rindu dan buat masa yang sama terkejut. Namanya disebut lembut dan mesra tidak seperti Allisa sering panggilnya selepas gadis itu mendapati memorinya semula. Angkuh dan inferior. Panggilan pagi tadi membuatkan dia hampir memikirkan yang Allisa itu Benjamin sungguhpun Allisa ialah Benjamin.

Dia berjalan menuju ke tingkap bilik bacaanya yang teletak betul-betul di belakang kerusinya. Hanya selangkah dua. Dia mendongak memandang langit yang kian bertukar menjadi jingga.  Unggas beterbangan, pulang ke sarang. Rasa cemburu yang bermukim di hati setiap kali dia melihat kebebasan yang ada pada burung yang enak melayari langit biru. Melihat dunia dengan dua mata yang kecil dengan visi sisi berbanding dia yang punya kelebihan dengan keupayaan penglihatan yang lebih jelas. Akan tetapi dia seperti terperangkap di dalam penjara yang dia sendiri tidak tahu di mana palang dan garinya.

Mata hijau gelap itu menghiasi penglihatannya kembali. Baharu dia fikir yang dia mampu lari dari terus memikirkan tentang Allisa, namun rupanya dia masih lagi berlegar di tempat yang sama. Dia yang tidak mampu mengalih pandangan mata mereka yang bertembung dan rasa hati yang bergelora. Suasana pagi itu senyap dan damai. Pertemuan yang dia tidak jangka yang dia sendiri cari undangannya. Senyap-senyap dia mengekori gadis itu ke situ malamnya selepas Allisa berkata yang bukan-bukan dan sambung tidur. Beberapa jam kemudian Allisa bangun, sedikit termangu-mangu dan dengan langkah perlahan menuju ke satu arah yang pada mulanya dia tidak ketahui dan bila tiba di simpang lorong membawa ke bilik rahsia, dia berhenti mengikut. Bermacam-macam persoalan bermain di fikirannya sambil matanya mengintai Allisa dengan sepenuh kudrat menolak dinding yang menghalang pandangan orang lain akan kewujudan bilik rahsia itu.   

Bilik rahsia atau asalnya sebuah ruang tamu kecil dengan pandangan yang indah menghadap ke matahari terbit namun kelamaan bilik itu hilang fungsinya bila pokok sena mula mengelabui pandangan dan orang-orang dalam rumah ini mula lupa akan kewujudannya. Beberapa puluh tahun kemudian, dia yang pada masa itu masih kecil dan merindui kehadiran Vincent yang telah terbang ke Prace, meninggalkannya tanpa teman mula meronda mencari tempat bermainnya. Dengan azam dan rasa sunyi yang membelengu, dia tersesat di dalam maze batu bata sehingga kakinya membawa dia ke satu lorong yang panjang yang hujungnya hanya sebuah jalan mati dan bingkai-bingkai gambar yang digantung berturut-turut di sepanjang laluan itu menangkap minatnya. Lama dia perhatikan gambar-gambar yang tergantung sehinggalah dia perasankan kelaianan di setiap satunya. Setiap gambar menunjukkan lorong yang dia berada memberi gambaran berbeza akan satu perincian yang kurang jelas dari pandangan sekali imbas. Bayang-bayang. Dia yang sedar akan perbezaan itu berlari ke permukaan dinding yang terletak di hujungnya lalu telapak tangannya dilekap. Mencari-cari kawasan yang sedikit tertimbul dan bila dia ketemunya, dua ulas bibirnya merekah lebar. Sejak itu, bila dia kelapangan, dia merajinkan dirinya untuk mengemas bilik tersebut dan menambah beberapa perabot yang dirasakan sesuai tetapi dia membiarkan dahan-dahan pokok sena memenuhi setiap inci perimeter balkoni lalu menghaibkannya dari pandangan mata kasar. Bilik rahsia yang suatu masa dahulu menjadi rahsianya kini diketahui Allisa saha –

Daniel mengecilkan biji matanya. Telapaknya ditekap pada permukaan cermin. Figura seorang gadis dengan gaun putih mencuri tumpuannya lebih-lebih lagi ianya berada di balkoni bilik rahsianya. Anak mata hitamnya semakin kecil bila fokusnya semakin jauh dan lebih terperinci. Rambut hitam sepanjang bahu dengan potongan tidak sekata, bahu bertulang dan lengan nipis seperti mancis. Wajahnya tidak terkelihatan seperti menyorok dari pandangan. Jantungnya berdegup laju. Kuat. Air liurnya ditelan payah.

“Pandanglah sini...” pintanya dengan pipinya yang seperti sudah sebati dengan permukaan cermin tingkap.


Gadis itu menoleh melihat sejajar dengan aras yang didudukinya. Melihat langit yang sudah pun jingga. Jantung Daniel yang sebelum ini seperti berlari dengan kepantasan maksimum tiba-tiba berhenti. Nafasnya tersekat. Pendengarannya mula bermain lagu yang memeningkan. Rentak yang tidak seimbang dengan penglihatannya yang di luar fokus dan yang kelihatan jelas hanyalah gadis bernama Allisa, bidadari yang jatuh dari kayangan. 

No comments:

Post a Comment