Saturday, April 16, 2016

Mimpi 38

38



Telefon terlepas dari ganggang. Dunianya berputar ligat. Retinanya tidak mampu memfokuskan pada satu objek di hadapannya. Jantung berdegup lebih laju dari tadi malah dari kebiasaannya. Dia tercungap-cungap mencari nafas. Tiba-tiba dia rasa gementar. Bercelaru dan takut.
“Suri... Awak minta saya panggil awak Suri.”
Terhuyung hayang dia cuba cari pusat diriannya. Bibirnya kering. Hatinya menyebut nama ‘Suri’ berulang kali, meninggalkan dengung yang tiada penghujung di tempurung kepalanya sehinggalah nama itu menghentam satu rak laci yang paling tinggi, membongkar isinya. Nama itu... Dia kenal. Dia pernah mendengarnya sekali. Di dalam mimpi. Suara gadis yang wujud dalam mimpinya ada menyebut sekali nama itu. Suri...
Bila fokus matanya dapat raih titik tengahnya, dia mula dapat melihat dengan jelas sedikit demi sedikit. Aroma bunga petunia jelas di hidungnya bila sesekali angin bertiup lembut. Dia tersentak. Dia kini berada di taman belakang biliknya. Namun tiada kelihatan binaan rumahnya atau istana atau pagar yang memagari perimeter kawasan istana. Tiada hutan yang tumbuh berkelompok pada satu-satu tempat atau apa-apa kewujudan makhluk lain selain dia, bulan, bintang, malam yang tenang dan perigi. Satu-satunya perigi yang dia lihat pagi tadi dan hanya dia sahaja yang mampu melihatnya. Hairannya, perasaan takut yang dia rasakan tadi lenyap. Tiada rasa gentar seperti yang dia rasakan. Satu rasa takjub mengusai hatinya. Bulan penuh memantulkan cahaya terang matahari. Keemasan, bersinar seperti mutiara dengan lekuk besar pada hemisferanya namun itulah pesonanya.
Matanya bulat melihat bulan itu yang seakan dekat dengan tanah tempat dia berdiri. Bulan itu seakan membesar seperti belon yang ditiup dengan sepenuh hati. Menyingkir kilauan bintang-bintang yang berada jauh darinya; kelihatan kecil dan terkedip-kedip sinarnya. Bulan it membesar dengan besar sekali tidak membenarkan Allisa mengerdipkan matanya sehingga bila dia tersedar kepalanya tertunduk ke dalam lubang perigi, melihat biasnya, bias bulan dan bintang. Malam masih lagi tenang. Tiada awan yang berkumpul dan berarak dan dia tidak berganjak dari melihat bias wajahnya.
Air tenang di dalam perigi itu seolah cermin licin, memantul cahaya; membiaskan apa yang terbias di permukaannya. Hanya satu yang berbeza.
Allisa sentuh hujung kening kirinya. Permukaan kulit jarinya merasai kesan parut itu namun dalam bias air itu, wajah gadis yang yang memandang ke arahnya kekal memandang kearahnya. Mata Allisa mengecil. Bibirnya mengetap. Namun biasnya tidak berbuat demikian. Mata masih bulat merenungnya semula. Mulut sedikit terbuka. Terpegun dengan apa yang dilihat. Allisa sedar. Apa yang sedang berlaku tika ini sudah tidak konsisten dengan apa yang sepatutnya. Ia sudah mula lari. Konsistensi itu.
“Awak siapa?” soalnya berani.
Biasnya yang tadi bermata bulat dengan bibir membentuk ‘O’ itu berubah wajah. Gadis itu tersenyum. “Saya ialah awak,” jawabnya namun bibirnya tidak berbicara.
Allisa cuba mencerna maksud kata gadis di dalam perigi itu. Dia cuba cari maksud jawapan itu pada setiap yang berlaku, setiap babak yang konsistensinya lari. Setiap gambar rajah yang berlubang dia bandingkan dengan jawapan biasnya dan jawapan dari Daniel. “Jadi... siapa Suri?”
Gadis itu tersenyum manis. Bibirnya lebar mengukir senyuman. “Awak.”
Ia semakin pelik. Jika gadis di dalam biasnya ialah dia dan dia ialah Suri... siapa Allisa? Kepalanya canggung. Ini tidak masuk akal. Dia mula mempersoalkan identitinya sendiri. Allisa pandang biasnya. Persoalan tadi dengan tanda soal besar dia letupkan. Dia olah semula jawapannya tadi. Ianya jawapan yang jelas tetapi dia masih ragu-ragu. Dia rasa seperti orang gila.
“Awak Allisa, bukan?” tekanya.
Gadis itu tidak memberi respon. Sekali lagi Allisa mengetap bibir. Dia paksa dirinya untuk cari lagi jawapan yang dia tertinggal. Perincian kecil yang mungkin dia tidak nampak atau terlepas pandang. Lama dia fikir dan pada saat itu dia jumpa juga. Mimpi-mimpi memori yang dia alami ketika dia di Beth. ‘Allisa’ yang dia nampak, setiap satu konsistensinya jelas. Dia tidak nampak sebabnya kerana dia yang mencari jawapan yang ‘Allisa’ mahukan dan bukannya dia mahukan! Dan pada akhir mimpi itu, ayat itu bukan sebarang ayat. Ianya satu jawapan yang dia cari.
Allisa ingin mencuba sekali lagi. Dalam sekali helaan nafas dan suara yang tenang dia bersuara, “awak ialah Allisa dan saya ialah Suri. Namun kita ialah orang yang sama.” Matanya memandang kembarnya itu. Dia yakin yang gadis itu menunggu jawapan ini dari dia. “Semua ini hanya... mimpi.”
Akhirnya gadis itu tertawa gembira sambil mengangguk. Lantas dihulurkan jemarinya mahu ‘dia’; Suri sambut tangannya dan Suri tidak teragak-agak menyambut jemari tersebut. Saat Suri melepasi cermin air itu dia menutup matanya dan hatinya terus berbisik yang semua ini hanya mimpi. Hanya mimpi.

BILA dia buka matanya, serta merta bibirnya terukir senyuman. Dia terlompat sedikit. Tangan kirinya meraih tangan kiri Allisa. Tubuh gadis itu dilihat atas bawah dengan rasa tidak percaya. Bila matanya kembali mendarat pada wajah Allisa, kedua belah tangannya menggenggam erat kedua belah tangan kembarnya. Kepalanya tergeleng-geleng tetapi dia ketawa.
“Apa yang berlaku sebenarnya?” soalnya lebih kepada dirinya sendiri.
Matanya melilau melihat sekitarnya. Walaupun sekali, dia ingat tempat ini. Di sinilah dia... Allisa jumpa Permaisuri Raina buat kali terakhir. Sebuah alam awanan yang bewarna merah jambu dan biru dan kakinya terapung di awanan, di bawahnya tiada tanah seakan dia berdiri di atas kaca tebal dan dia yakin dia tidak akan jatuh seperti di dalam mimpinya sebelum ini.
Dia pandang semula wajah Allisa dan tidak semena-mena, dia ketawa gementar lagi. Selepas itu dia hembus nafas. Tadi dia begitu yakin yang selama ini dia hanya alami mimpi; setiap pertemuannya dengan Julie, Juliane, Willson, Bianca, Anita, mereka di rumah agam Scot, mereka di Prace, mereka di Beth dan mereka di Brynn... semua itu hanya mimpi. Mimpi. Dan jika benar ini mimpi, di mana rialiti-nya?
“Dah tak sabar nampaknya nak pulang?”
Suri berpaling ke arah punca suara. Terkejut bila menyedari bukan dia dan Allisa sahaja yang berada di ruangan tidak berpenghujung itu. Kening Suri bercantum. “Awak?”
Kimihiro menunduk hormat. Tangannya berpusing di udara lalu mempersembahkan dirinya sambil kaki kanannya disilangkan ke belakang. Lagak seperti lelaki budiman. Tiga saat kemudian dia berdiri semula. Tangan kanannya mencekak pinggang dan tangan kirinya dibiar bebas. Berdiri ala-ala peragawan dengan sepasang kaki panjang berpakaian serba hitam, bercermin mata berbingkai halus, rambut hitam, iris biru cair dan kulit cerah tidak bermaya. “Kita berjumpa lagi,” ujarnya ceria.
Terkebil-kebil mata Suri melihat Kimihiro. Atas bawah kemudian kiri dan kanan. “Saya tak ingat awaklah. Kita jumpa di mana?”
Terbejat Kimihiro seketika. Allisa menutup mulutnya, ketawa pada riaksi Suri dan gadis itu memandang Kimihiro dan Allisa dengan pandangan keliru.
“Saya minta maaf kalau tadi saya tergores perasaan awak tapi saya memang tak ingat jika saya pernah jumpa awak sebelum ini.”
Kimihiro tersenyum tawar. Cermin matanya dibetulkan di atas tulang hidungnya. Kepala tergeleng-geleng sambil berjalan mendekati Suri. Bila dia berada dekat berbeza jarak 0.5 meter dari Suri, dia membongkok agar aras matanya dan Suri selari. Kedua belah tangannya bercekak pinggang. “Jangan risau. Awak akan,” cakapnya yakin.
Tidak semena Suri terundur ke belakang, berasa sedikit terancam dengan kemesraan yang ditunjukan Kimihiro. Wajah pucat dengan iris biru cair yang tampak seperti tidak nyata. Bila dia lihat mata itu, dia rasakan sesuatu yang dia tidak dapat jelaskan.
Kimihiro tarik senyuman puas. Badannya ditegakkan semula lalu dia berpaling memandang Allisa. Lama dia pandang wajah gadis itu kemudian dia berpaling semula ke arah Suri yang masih lagi mendongak, memandang wajahnya. Perangai Suri itu membuatkan Kimihiro berasa senang di dalam hati. Tidak pernah berubah... kata hatinya.
“Saya pasti awak ada banyak soalan yang bermain di fikiran awak. Allisa akan tolong jawabkannya untuk awak. Kalau saya yang terangkan, awak kena bayar tambahan perkhidmatan untuk itu.”
“Hah?” Suri tercengang tidak faham.
Allisa tarik tangan Suri menjauhi Kimihiro. “Awak akan fahamnya nanti. Saya ada banyak benda untuk bercerita dengan awak sebelum kita berpisah,” cakap Allisa tetapi masih, Suri dapati Allisa tidak membuka mulutnya ketika bercakap. Seperti gadis itu sebenarnya bertelepati dengannya.
Apabila dirasakan Kimihiro tidak mampu mendengari perbualan mereka dan kewujudan lelaki itu seperti sebesar semut di atas jalan, Allisa berhenti menarik lalu dia lepaskan jemari Suri. Tiada apa yang berubah di sekeliling mereka. Hanya ada awanan merah jambu dan biru dan lantai kaca yang tebal seolah mereka terapung tinggi di udara tanpa dapat mengetahui di mana tanahnya.
Mereka berdiri secara berhadapan. Mata, hidung, bibir, tinggi dan lebar semuanya seiras. Yang membezakan ialah parut di kening kiri. Jika dilihat dari jauh, parut itu sukar untuk dikesan kerana ianya terlalu kecil. Berhati-hati Allisa sentuh kening kiri Suri. Berasa simpati dengan kisah disebalik parut tersebut.
“Awak tak rasa yang semua ini sesuatu yang menakjubkan? Mengetahui yang ada orang lain yang seiras kita tetapi berbeza situasi? Saya dapati semua ini menakjubkan.”
Suri tergamam. Malu juga bila diperlakukan begitu. Sentuhan lembut Allisa mengingatkan dia pada seseorang. Tangan besar dengan permukaan yang kasar dan setiap kali tangan besar itu menyentuh kulit wajahnya, penuh rasa berhati-hati dan terasa lembut membelai. Kemudian dia nampak senyuman manis seorang wanita, berdiri di sebelah suaminya. Siapa?
“Itu memori awak.”
“Memori?”
Allisa mengangguk. Dia tiba-tiba duduk di atas lantai dan kakinya terjuntai ke bawah, seakan dia duduk di atas kerusi. Dia mendongak memandang Suri dan menepuk-nepuk tempat disebelahnya, menyuruh Suri turut duduk sepertinya.
Teragak-agak Suri ikut duduk seperi Allisa. Janggal sekali, kakinya turut terjuntai ke bawah sedangkan tadi lantai kaca ini keras dan kukuh. Tiada satu lubang pun yang wujud.
Kedengaran tawa halus Allisa. Menampakkan baris giginya yang putih bersih dan tersusun rapi.
Rasa kekok masih ada walau banyak mana sekalipun Suri lihat diri Allisa kerana Allisa ialah dia dan dia ialah Allisa. Untuk itu, dia alihkan wajahnya dan memandang ke bawah. Melihat kakinya terhayun-hayun di udara. Tiada pun angin yang bertiup namun seakan merasa sejuk, seakan kakinya dicelup masuk ke dalam air masin tika waktu petang, berkaki ayam dan dia dengar gelak tawa, tangis dan rasa rindu yang menyelinap di sudut hatinya. Adakah ini memorinya juga?
“Macam mana saya nak tahu apa yang bermain dalam kepala saya ini ialah memori saya ataupun bukan? Bagaimana pula dengan memori saya berada di Brynn selama 15 tahun sebelum ini?” soal Suri. Dia menendang-nendang air yang kini menjadi nyata di hadapan matanya. Kakinya sememangnya tercelup di dalam air laut namun dia masih mampu melihat apa yang ada di bawahnya. Atau adakah itu biasan langit di atasnya?
Diam Allisa menarik lirik Suri ke arah gadis itu. Allisa sedang memandangnya. Mata itu redup. Jemari gadis mendarat di bahagian halkumnya. Air mata Allisa bertakung di tubir mata.
“Kebisuan saya dan parut awak membezakan kedua memori yang wujud dalam kepala awak. Adakah itu dapat membantu awak?” soalnya. Dia sapu air mata yang mengalir di pipi. Dia tidak tunggu lama untuk Suri menjawab. “Saya minta maaf kerana telah mencelarukan fikiran awak. Kerana saya ingin lari dari terus mencari jawapan, saya telah menyebabkan awak terseksa.”
Suri tidak tahu untuk berkata apa. Segalanya rasa begitu asing lagi buatnya. Dia cuba untuk membezakan antara dua situasi memorinya yang ketara perbezaannya namun buat masa ini, yang jelas hanyalah tempat dan suasana. Tempat tinggalnya ialah sebuah rumah campuran tradisional dan moden di tengah kota raya yang membangun dengan pesat juga jumlah penduduk yang ramai. Sejak awal pagi, kota raya sudah sibuk sehingga ke malam. Lampu-lampu neon di puncak menara sehinggalah sekecil-kecil bangunan. Asap karbon dioksida berterbangan di udara datang dari ekzos kereta, kedengaran hon sana sini, pejalan kaki memenuhi sisi jalan mengejar waktu dan bila burung terbang di udara, di atasnya terbang sebuah kapal terbang penerbangan komersial. Warna-warni musim, festival, gelak ketawa dan duka cita segalanya terlukis jelas dalam memori ini dan saat itu dia wujud dalam kerumunan orang ramai berpakaian seragam, rambut diikat tinggi dan berwajah garang. Di sisinya seorang lelaki tinggi lampai sedang tersenyum lebar juga seorang gadis sedikit tinggi darinya ketawa mengekek membawa sebuah beg kanvas. Itu... Julie dan Juliane. Tidak! Miza dan Yurino!
Selepas itu, memorinya memasuki setiap ruang fikirannya, sangat terperinci kerana dia yang alaminya sedangkan memori 15 tahunnya di Brynn, sedikit-sedikit, berlubang sana dan sini dan dia ingat bila ia tiba-tiba menerjah ruang memorinya, menyakinkan dia yang itu ialah rialitinya sedangkan itu semua hanya memori milik orang lain. Milik Allisa Leann Reed.
Suri menekup mulutnya. Rialitinya penuh dengan duka dan kecewa. Jika ada gembira ia hanya sementara. Cinta yang dia ada untuk lelaki bernama Yurino Genji bertukar menjadi satu pengkhianatan dan bila dia sedar dia hanya digunakan... saat itu dia jumpa Kimihiro Watanuki. Pada lelaki itu dia  membuat permintaan untuk lari dari segalanya. Lari dari kenyataan. Dia pandang Allisa. Air matanya titis demi titis mengalir laju lalu menjadi lebat. Semuanya bermula dari situ dan dari situ dia... dia...
“Allisa...”
Kembarnya itu membuka kedua belah tangan, menjemputnya untuk mencurahkan perasaannya yang selama ini tertutup kemas.
Suri dakap tubuh gadis di sebelahnya. Dia hamburkan segala rasa kecewa dan kesal yang ada. Sakit di hatinya mula memancut keluar setelah dia tutup tanpa tinggal sebarang kebocoran sehingga ia tidak mampu menampung tekanan. Lalu inilah yang terjadi. Kesilapan yang tidak dapat diundur. Berulang kali dia katakan pada Daniel yang lari dari hakikat tidak mampu mengubah realiti. Ironinya, dia juga serupa. Bermula dari kehilangan ayahnya, pemergian ibunya, rasa rendah diri dan malu, setiap episod rialiti yang hadir, dia hanya tahu lari dan lari. Malah apa yang terjadi antara dia dengan Daniel juga, dia pilih untuk lari dari perasaan dia yang sebenarnya.
Badan Suri tiba-tiba tegak. Mata membulat. “Bagaimana dengan Daniel? Besok hari perkahwinan dia dan... dan... bagaimana saya nak jelaskan pada dia yang saya ini bukan awak dan gadis yang dia cintakan itu bukan awak tapi saya?” Suri tersenyap. “Atuk, Julie dan Juliane pula?” Wajah Suri tampak serabut. Setiap satu masalah mula berlanggar antara satu sama lain.
“Tenang,” ujar Allisa. Bibir gadis itu terukir senyuman lembut. Dia usap rambut pendek Suri. Nafas dihela perlahan. “Kelak bila awak kembali ke dunia awak, semuanya akan kembali semula ke tampat asalnya. Segala apa yang awak alami sepanjang tempoh awak berada di kerajaan saya, umpama sebuah mimpi panjang di musim panas.”
Mata Suri membundar. Setiap patah kata yang menari masuk ke dalam fikirannya, meresap ke dalam jiwanya. Patutkah dia berasa lega? Semua akan lupa siapa dia. Seorang gadis yang jatuh dari langit dan jatuh cinta dengan tunang orang dalam usaha untuk melarikan diri dari episod rialitinya. Namun sanggupkah dia jika dia tinggalkan semua orang selepas apa yang telah dia buat? Ada baiknya mereka lupa siapa dia.
“Ba... bagaimana pula dengan Aria? Suara awak?” 
Allisa terdiam. Matanya meredup. Kebenaran yang ibunya katakan ialah Aria. Dalang disebalik pembunuhan ibu bapanya namun hatinya berasa berat untuk mengakuinya. Sukar untuk dia terima bila dia ingati dalam tempoh dia terseksa seminggu sebelum dia memilih untuk melalui jalan yang perit ini, Aria ada disampingnya. Saudaranya itu ada menemaninya tika dia sedih dan menangis bersama. Walaupun dahulu dia tidak faham kenapa gadis itu kerap memohon maaf padanya namun sekarang ini dia jadi lebih keliru bila dia tahu kebenarannya. Dengan kehilangan Aria dari Kerajaan Neon, gadis itu bawa bersama jawapan lengkap yang dia mahukan. Mungkin kerana itu juga suaranya masih terkunci.
Matanya menangkap susuk tubuh tinggi lampai duduk disebelah Suri. Lelaki itu memandangnya dengan pandangan simpati. Tubir mata Allisa hangat. Mengingati setiap peristiwa yang berlaku tiga tahun lalu, mengingati saat dia terjumpa perigi di tamannya... merupakan satu titik perubahan yang besar dalam hidupnya. Dia katup kelopak matanya perlahan. Wajah Kimihiro muncul di mindanya. Tiga tahun lalu, dia buat permintaan pada Kimihiro melalui perigi yang dia jumpa itu. Permintaannya untuk mencari jawapan kepada pembunuh sebenar ibu bapanya dan dia jumpa pembunuhnya. Apa pula kaitan antara Aria dan sahabat baik ibunya?
Ibu dan anak. Lebih tepat, ibu susu dan anak. Ibu bapa Aria sudah lama pergi sejak tragedi kebakaran kapal udara hampir dua dekad dahulu dan Aria bertuah terselamat dalam kebakaran itu. Sebab kenapa Aria mahukan kuasanya ini? Dia tidak pernah tahu. Gadis itu pendiam. Tidak banyak bercakap. Jarang melibatkan diri dalam aktiviti keluarga dan sering mengasingkan diri dari kerumunan orang ramai. Salah diakah kerana tidak pernah ambil inisiatif untuk berkawan dengan Aria sedangkan dia juga seperti terkapai-kapai dalam menyesuaikan dirinya di istana? Tiada jawapan yang tepat untuk itu.
Dia kembali menoleh ke arah Suri. Melihat wajahnya sendiri pada orang lain seperti melihat cermin di meja solek. Tiada apa yang berbeza melainkan parut di kening itu. Parut itu bayaran kepada pelarian Suri dan tidur lenanya untuk tiga tahun ialah bayaran untuk sebuah jawapan manakala untuk dia bangkit semula, walaupun berat... dia harus lakukannya juga.
“Oh Suri... tanpa suara ini saya masih boleh lagi berbicara dengan awak. Hanya mereka yang benar-benar memerlukan saya akan mendengarnya. Hati yang ikhlas dan niat yang jujur adalah asasnya. Tentang Aria... dia tidak akan apa-apakan saya. Saya jamin awak itu,” beritahu Allisa lembut. “Dan atas kebaikan awak, saya doakan awak ini. Semoga bila awak sedar dari mimpi ini, awak akan jumpa apa yang awak cari. Awak terus percaya pada diri awak dan tidak akan lari lagi,” doanya lalu tersenyum simpul matanya memandang ke arah lelaki yang dari menunduk memandang ke bawah.
“Betul tak, Kimihiro?”
Suri tersentak. Pertanyaan tiba-tiba Allisa itu menyedarkan Suri pada kewujudan Kimihiro di sebelahnya. Lelaki itu duduk tenang menghadap ke arah laut tenang di hadapan mereka dengan kaki tercelup ke dalamnya. Lelaki itu menoleh ke arah mereka dan mengukir senyum tipis.
“Awak dah sedia Allisa?” soal Kimihiro pula.
Gadis itu tertawa kecil. Di hujung tawa itu seperti kedengaran satu helaan pendek yang menggeletar.
Suri pandang kedua mereka dengan pandangan keliru. Apa yang mereka bualkan pun dia tidak tahu.
Allisa tarik nafasnya dalam lalu dia lepaskannya melalui bibirnya bersama-sama kata-kata perintah yang dia lafazkan dari lubuk hatinya. Dia tahu air matanya bertakung dan dia tahu seperti sukar untuk dia lepaskan Suri namun dia harus juga lakukannya kerana inilah bayarannya. Dia harus lepaskan ikatan yang ada antara Suri dari dunianya dan dunianya dari Suri.
Tiba-tiba angin bertiup kencang ke arah mereka. Suri alihkan wajahnya lantas memandang ke arah kembarnya. Angin yang bertiup kembali reda. Gadis itu sedikit pelik bila angin bertiup ganas sedangkan tadi seperti tiada tanda akan kehadiran sebegitu. Anak mata Suri mendarat lama pada tubuh Allisa yang semakin lama semakin menghilang.
“Allisa!”
Gadis itu masih lagi tersenyum manis. Kedua belah tangan Suri digenggam kuat. “Saya harap awak tak akan lupakan saya, Suri,” ujarnya walaupun dia tahu itu semuanya hanya sia-sia. Matanya menjeling Kimihiro. “Saya dah bayar seperti yang dijanjikan, awak... jaga kawan saya baik-baik ya, Kimihiro? Kalau tak, saya akan sumpah awak!” ugut Allisa. 
“Apa awak cakap ni Allisa?” Suri panik.
Tubuh Allisa semakin lama menyatu dengan cahaya dan hilang upaya padu. Dalam sekelip mata gadis itu hilang bersama-sama cahaya samar dan bayu lembut yang menyisir. Yang masih berlegar hanya bayangan senyuman gadis itu seperti gadis itu masih lagi di situ. Tersenyum manis.

Dalam dimensi yang asing, Allisa kembali semula ke tempatnya semula. Tersedar dalam keadaan yang tenat dengan tubuh yang keding tidak bermaya. Walaupun dia tahu suranya tidak mungkin akan keluar, dia cuba untuk memanggil. Di dalam bilik jauh dari bisik-bisik manusia, dia cuba untuk menarik perhatian. Cuba untuk memberitahu yang dia sudah kembali. Dia sudah kembali.

No comments:

Post a Comment