Saturday, April 16, 2016

Mimpi 39

39



“Beritahu saya... apa yang sebenarnya telah berlaku? Apa yang sudah terjadi pada Allisa?” Kali ini Suri memberanikan dirinya berhadapan dengan Kimihiro. Air mata yang tadi kering seperti hendak bertakung semula. Rasa terkejut dan marah saling berlawan dalam dirinya dan bergabung menjadi satu perasaan sedih. Semakin lama dia memandang ke arah Kimihiro, rasa takutnya pula timbul. Berada di tempat asing sendirian dan selepas melihat kehilangan drastik Allisa seperti itu, pelbagai persoalan muncul dalam benaknya.

“Adakah saya juga akan hilang sepertinya?” esak Suri.

Kimihiro menggeleng. Wajah lelaki itu serius. Namun mata lelaki itu memancar sinar simpati. “Adakah awak masih tidak ingati sebab kenapa awak berada di sini?”

Suri menahan esakaknnya. Mata tidak lepas dari memandang anak mata hitam Kimihiro. Iris biru cair yang seumpama biru awan di atas kertas. Anak mata itu... dia sering pandang suatu ketika dahulu. Tidak terlalu lama. Namun setiap hari dia lihat mata itu. Mata itu...

Suri tersentak. Matanya terkebil-kebil memandang Kimihiro. Lama kemudian dia ketap bibirnya. “Maafkan saya. Maafkan saya Watanuki. Saya tak tahu bagaimana saya boleh lupa awak. Saya...” Perasaan bersalah menjenguk dirinya. Lelaki yang dia sering lawati setiap petang selepas sekolah sejak di menengah tinggi lagi, bagaimana dia boleh lupa?

Mendengarkan namanya disebut Suri, Kimihiro tersenyum senang tetapi sekejap bila dia lihat wajah muram Suri. Gadis itu setiap kali berhadapan dengannya, pasti akan berwajah muram, mata memandang jauh merindukan seseorang yang telah lama tiada namun senyuman di bibirnya itu tidak pernah tidak ikhlas. Walaupun kasar peribadi gadis itu, jiwanya lembut. Mudah terluka.

Kimihiro menghembus nafas berat. “Awak tak buat salah pun... kenapa minta maaf dengan saya?”

Mendengarkan kata-kata Kimihiro, Suri menunduk. Air matanya disapu. Nafas ditarik dalam lalu dihela perlahan. Mata menebar ke seluruh tempat. Senyap dan sunyi. Indah dan nyaman. Awanan biru dan merah jambu yang mengusai suasana membuatkan dia rasa selesa pada waktu yang sama.

“Kita berada di mana sebenarnya?”

Kimihiro menebarkan pandangannya juga. Putih menguasai suasana dan di hadapannya terdapat sebuah tasik yang besar. Kakinya yang dicelup ke dalam tasik tersebut berasa sejuk dan ringan. Jika dia pandang lama ke dalam tasik itu dia akan nampak wajah wanita itu. Wanita yang telah lama hilang dari pandangannya. Meninggalkan dia dengan pelbagai persoalan juga satu perasaan rindu yang telah lama dipendam.

“Kita berada di antara dua dimensi yang bergerak selari, umpama satu garis halus memisahkan yang hitam dan yang putih. Ianya jambatan antara rialiti dan mimpi. Apa yang awak nampak berlainan dengan apa yang saya nampak. Awak boleh panggilnya alam luar sedar,” terang Kimihiro.

“Alam luar sedar?” Badan Suri kaku. Saat itu, sebuah memori datang mengetuknya. Menyedarkannya akan satu perkara terakhir akan dia terlupa. 

“Kebanyakkan mereka yang koma akan tersekat di sini.” Seakan berbisik Kimihiro membicarakannya itu. Dia tidak mahu melihat wajah kaku yang memandangnya dengan rasa sedih dan kecewa. Mengingati saat pandangan gadis itu menjadi merah sebelum menutup mata.


LAMA gadis itu termenung, merenung laut. Kakinya yang tercelup ke dalam air lansung tidak bergerak-gerak. Fokus mata tidak beralih dari terus merenung bias wajahnya. Setiap saat yang berlalu, memorinya bangkit seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Tiada satu pun yang tinggal dan dia ulang tayang di dalam kepalanya tanpa jemu. Betapa dia rindukan belaian ibunya saat ini. Betapa dia rindukan suara Yurino memujuknya. Betapa penatnya selama ini dia berlari. Apa yang berlaku di kerajaan Neon membuatkan yang dia sedar yang dia sudah tidak mahu lari lagi dari masalahnya dan sekarang ini dia perlu berhadapan dengan masalah yang telah dia tinggalkan.

Dia pandang Kimihiro yang masih setia di sisinya. Menunggu dia. Betapa dahulu dia dan Kimihiro sering duduk begini di beranda rumah lelaki itu, sambil menikmati teh hijau yang panas dan mereka akan berbual apa sahaja. Selalunya mengenai masalahnya walaupun dia hanya berkias-kias. Kimihiro seperti dapat membaca setiap kiasannya. Mungkin kerana itu dia senang berbual dengan lelaki itu untuk dua tahun lamanya, hampir setiap petang. Waktu seperti ini dia rindukan celoteh lelaki itu yang kadang-kadang menghiburkan hatinya dan tidak lupa juga dia rindukan haiwan hitam kecil itu.

Tanpa sedar Suri tertawa sendiri menarik perhatian Kimihiro untuk memandangnya. “Kenapa?”

“Saya rindukan Mokona.”

Kimihiro menarik senyum. “Dia juga.”

“Saya nak pulang.”

“Awak dah sedia?”

“Saya takkan berada di sini jika saya tak sedia.”

Kimihiro mengangguk setuju. Lantas dia bangkit lalu menghulur tangan kanannya, membantu Suri untuk berdiri. Bila Suri mampu untuk menstabilkan diriannya dan berdiri tegak, Kimihiro menarik nafas sedalam-dalamnya lalu menekap kedua belah tangannya bersama menghasilkan satu tepukan yang kuat bersama helaan nafas yang kuat juga dan mengejutkan gadis itu.

Mata Kimihiro tajam memandang anak mata Suri yang gelap. “Untuk pengetahuan awak, untuk perjalanan pulang kali ini memerlukan bayaran seperti mana awak membayarnya untuk pergi.”

“Beritahu saya harganya,” tenang Suri menuturnya.

“Itu... saya ada beritahu awak tempoh hari... jika awak ingat,” ujar Kimihiro.

Kepala Suri terteleng ke kiri sedikit. “Awak ada?” soalnya. Mindanya pantas mengimbas memorinya sepanjang dia berada di Darmadin, di Brynn dan di Beth.

“Kalau awak tidak ingat tidak mengapa tetapi jika awak ingat, saya ada melawat awak.”

Bila Kimihiro memberitahunya baharu dia terfikirkan peristiwa itu. Matanya membulat memandang lelaki itu. “Awak ada! Tapi...” Suri ragu-ragu.

“Saya ada ingat awak datang temui saya. Pertama pada malam selepas saya berbual dengan Abang Vince walaupun hanya dalam mimpi dan yang kedua ketika saya sedang sakit. Betul?”

Kimihiro mengiyakan.

“Tetapi...” pantas Suri mencelah. “Hairannya kenapa saya lansung tak ingat apa yang kita bualkan?”
Lelaki itu berpeluk tubuh. Diriannya mula menyenget. Wajah itu bertambah serius bila lelaki itu membetulkan cermin mata bulatnya membuatkan Suri terundur sedikit. Dia mengetap bibir.

“Watanuki?”

“Itu bukan sebab awak tidak mampu mengingati apa yang kita bualkan tetapi awak tidak mahu mengingatinya pun. Emosi awak mengawal minda awak. Seperti yang saya katakan tadi, awak tidak ingat... tidak mengapa. Saya akan beritahu awak sekali lagi.” Ton suara Kimihiro bertukar datar. Tiada lagi nada kemesraan yang Suri kenal. Seperti pada hari terakhir yang Suri jumpa lelaki itu; hari dia membuat permintaannya, Kimihiro menggunakan ton yang sama dan kata-kata itu seperti menampar wajahnya. Rasa itu sangat kuat sehingga dia dapat rasakan apa yang Kimihiro katakan itu benar. Dia yang sebenarnya tidak rela untuk mengetahui isi perbualannya dengan Kimihiro waktu itu.

“Untuk awak melangkah dari jambatan ini, awak harus membayarnya dengan memori sepanjang awak berada di kerajaan Neon. Jika tidak, awak akan tersekat di sini untuk selama-lamanya.”

Liur yang Suri telan teras perit. Seperti dia menelan setiap butir pasir halus yang mampu melukakan dinding esofagusnya, menyukarkan dia untuk terus bernafas. Dia harus korbankan memorinya di kerajaan Neon untuk dia kembali semula ke rialitinya. Jika dia tidak sanggup berbuat demikian, dia akan tersekat di sini untuk selama-lamanya atau dalam erti kata lain...

“Jika tidak... saya akan mati?” teka Suri. Dia teringat saat pertama kali dia membuat permintaan pada Kimihiro sebelum ini di mana dia ingin lari dari dunia rialitinya. Bukan setakat itu sahaja, dia juga meminta sekiranya ada sekelumit perasaan untuknya pulang ke dunia rialiti, Kimihiro harus datang dan hilangkan perasaan itu. Namun jika perasaan ingin pulangnya lebih dari keinginannya untuk lari, pada masa itu, Kimihiro harus bawanya pulang walaupun bayarannya ialah kematian.

Kimihiro tidak menjawab persoalannya. Malah lelaki itu lansung tidak beriak. Cermin mata dipakainya memantulkan cahaya, menyilaukan pandangan Suri. Memaksa dia untuk terus menunduk.

“Kenapa bayaran yang saya lakukan tampak tidak setimpal dengan apa yang telah saya bayar sebelum ini?” Suri mempersoalkan isu dengan rasa keliru. Dua perkara yang berlaku sebelum ini dan ketika ini membawa haluan yang berbeza. Sedangkan dia hanya mahu pulang ke tempat yang dia lari semula.

“Setiap bayaran tidak semestinya sama. Setiap perjalanan yang awak lalui tidak pernah sama. Untuk membawa awak keluar, mudah. Tetapi untuk membawa awak kembali... ianya memerlukan perngorbanan. Memori awak mengandungi emosi setiap orang yang berinteraksi dengan awak. Ianya sangat berharga bagi awak sehingga ianya menjadi setimpal dengan nyawa awak sekarang ini Suri. Awak faham maksud saya?” terang Kimihiro. Penerangan yang sama yang telah Allisa berikan tadi.

Suri melawan pandang mata Kimihiro walaupun bahunya berasa berat. Dia tahu dia harus buat keputusan. Sekuat manapun dia ingin berpegang pada memorinya, dia harus lepaskan juga. Dia harus bergerak. Dia tidak mahu lari lagi. Dia mahu berhadapan dengan masalahnya. Dia ingin kembali ke rialitinya.

“Sebelum saya akad pemabayaran saya, boleh saya tanya awak sesuatu?”

“Dipersilakan.”

“Apa yang berlaku pada Allisa selepas dia pergi tadi? Adakah dia baik-baik sahaja?” Suri tidak mampu mengusir ikatan yang terjalin antaranya dengan Allisa. Apa yang terjadi beberapa ketika tadi meninggalkan kesan pada dirinya.

Kimihiro menunduk memandang ke arah bawah. Memandang kosong ke satu arah. Kemudian dia mendongak. “Jika awak fikirkan yang positif, dia juga begitu.”

Mendengarkan jawapan Kimihiro, Suri menghela nafas lega. “Jadi bila saya sedar, adakah saya akan jumpa awak lagi? Adakah kita akan terus menjadi teman berbual?”

Lelaki itu tersenyum tawar. Seakan berat untuk dia menongkat garisan di hujung bibir itu. “Jika kita ditakdirkan untuk bertemu lagi, kita akan.”

Suri cuba ukirkan senyum. “Jika begitu... saya akan rindukan awak, Watanuki.”

“Saya juga.”

Suri dapat rasakan air matanya mula bertakung. Dia cepat-cepat sapunya lalu dia katup rapat matanya. “Selamat tinggal Watanuki,” ucapnya sayu.

“Selamat tinggal Suri...” Suara Kimihiro seakan sayup-sayup namun begitu dekat di telinganya. Suri tidak mampu menahan air matanya. Dia akan meninggalkan memorinya di belakang. Dia akan meninggalkan Kimihiro juga dibelakang. Untuk dia terus maju, dia akan letak dua perkara yang dia sayang ke belakang dan tidak akan menoleh lagi. Sekali lagi angin bertiup ganas ke arahnya. Kali ini bersama-sama suara gadis yang telah tinggalkannya tadi. Menjatuhkan akad ke atas bayaran untuk dia melintasi jambatan ini. Dia tersenyum nipis. Air matanya berlinangan.

“Sehingga kita berjumpa lagi,” ucap Suri dalam esakannya mengharapkan balasan dari Kimihiro namun ucapannya tidak bersambut. Selama mana sekalipun dia tunggu, ucapannya itu tidak akan bersambut kerana dia telah pun tiba pada rialitinya.    

No comments:

Post a Comment