Saturday, April 16, 2016

Mimpi Epilog


Epilog



Bakal permaisuri bisu?” lantang suara itu mempersoalkan ahli dewan senat yang lain. Wajah tiga orang hakim yang duduk di barisan hadapan lansung tidak berubah, begitu juga wajah datuknya selaku pengganti ketua negera.
“Bakal permaisuri bisu?! Dah tu dia nak memerintah macam mana? Dengan kertas dan pen? Bagaimana dia nak dengar suara rakyat? Bolehkah kita harapkan dia?!” terus menerus lelaki yang berkumis nipis dengan misai tebal, berwajah angkuh dengan dada yang tinggi dan hidung yang serupa burung belatuk itu.
Meskipun suasana di dalam dewan makhkamah sepi tetapi tekanan yang wujud antara ahli senat memenuhi ruang udara sehingga dia yang menyorok di dalik dinding bilik kecil itu pun seperti hendak lemas dibuatnya. Matanya tajam merenung wajah bapa saudara dua pupunya itu. Dari dahulu dia tidak pernah suka lelaki itu. Dahulu ketika ibu bapanya memerintah, lelaki itu sentiasa cuba untuk menjatuhkan kepimpinan keluarganya dan kini bila ibu bapanya tiada, lelaki itu ambil setiap peluang yang ada untuk menjatuhkannya pula.
“Sekalipun dia bisu, wahai yang berhormat tuan senat, ia tidak akan mengganggu kredibiliti dan keupayaan dia untuk memerintah negara kita. Walaupun tak mampu bercakap, dia mampu mendengar!” bidas seorang menteri yang berbadan kenit dengan rambut palsu putih yang tinggi dan cermin mata bulat kecil yang tergantung di atas tulang hidungnya. Datuk saudara Julie.
“Saya dengar suara dia minggu lepas,” celah seseorang tanpa menonjolkan dirinya. Kemudian beberapa orang yang lain turut sama mengiakan kenyataan itu.
“Mustahil! Doktor sahkan dia tidak mampu bersuara! Merepek.” Bapa saudaranya enggan untuk menerima kenyataan itu.
“Apa bukti yang kamu semua ada yang bakal permaisuri kita tu mampu bersuara tanpa membuka mulutnya? Mana buktinya?” tambah pula seorang wanita tua yang merupakan sekutu bapa saudaranya itu.
Suasana dewan jadi gamat bila setiap seorang mula berbalah tentang bukti dan kesetiaan terhadap institusi diraja dalam penggunaan magis terlarang dan sebagainya. Allisa ketap bibirnya. Dia hembus nafas berat lantas menutup tingkap kecil yang membenarkan dia untuk melihat ke arah dalam dewan itu. Perlahan dia menuruni tangga berpusar dan keluar dari bilik itu. Bianca dan Willson sudah menunggunya di luar pintu.
Dia memandang ke arah Willson, yang kini telah sepenuhnya berkhidmat di bawahnya sejak seminggu lepas. Bianca pula, menurut dari mimpi Allisa bekerja sebagai pembantu di rumahnya dan juga sebagai pegawai elit pada satu masa. “Awak jumpa di mana dia berada Will?”
Willson menarik keluar secebis kertas yang dia simpan di dalam poket seluarnya. “Menurut sumber, di sinilah tempat terakhir mereka nampak dia menetap sejak sebulan lepas.”
Allisa ambil kertas tersebut dan melihat alamat yang tertera di situ. Jauhnya... “Kapal terpantas untuk pergi ke sana ambil masa berapa hari Will?” soalnya lagi. Bibirnya terkunci rapat namun matanya saling berbalas pandang dengan pegawainya itu.
“Empat hari, tuan puteri,” jawab Willson.
Allisa berfikir. Jika dia lengah-lengahkan masa yang ada dia takut, Aria akan berpindah ke tempat lain dan menurut Willson, saudaranya itu sudah menetap di situ hampir sebulan. Lambat laun, gadis itu akan berpindah semula. Hampir dua bulan dia cuba menjejak saudaranya yang hilang itu semenjak dia pulih sepenuhnya dan keluar dari hospital. Rehab memakan masa hampir setengah tahun dan dia sudah buang banyak masa yang ada untuk mencari. Tambah lagi dengan huru-hara yang saudara maranya yang lain cuba timbulkan, dia tidak boleh lengah lagi. “Kita gerak sekarang.”
“Nanti cik,” tahan Bianca.
Allisa pandang pembantunya itu.
“Malam ni cik ada majlis debut,” gadis itu mengingatkannya dan Allisa serta merta mengeluh berat. Dia hampir terlupa tentang hal itu sedangkan empat tahun dahulu, dialah gadis paling teruja sekali ingin menyambut hari itu. Dia tolak rambutnya ke belakang. Tangan yang sebelah lagi mencekak pinggangnya.
“Kalau begitu...” ujarnya. “Will, awak tulis surat akan kedatangan kita kepada Raja Hugh ke negaranya. Kita akan berangkat esok pagi. Ada bantahan?” Dia pandang wajah dua pegawai yang setia berkhidmat di sampingnya itu.
Bianca angkat tangannya. “Ia tentang... Daniel Scot.”
“Teruskan.”
“Cik pasti ke itu nama dia? Cik mungkin tersilap dengar atau cik tersalah orang atau itu hanya ima– ,” bebel gadis itu.
“Bianca,” panggil Allisa. Pegawai itu terdiam. “Kenapa tentang Daniel?”
Bianca ketap bibirnya. “Tiada rekod tentang lelaki bernama Daniel Scot.”
Kening Allisa terangkat. Dia pandang wajah Willson. Minta kepastian. Daniel dalam mimpi Suri ialah sahabat baik Willson dan mereka membesar bersama-sama Julie. Semua perkara tentang apa yang wujud di dalam mimpi kembarnya itu benar kecuali yang satu ini. Sejak sebulan lepas, dalam senyap dia melancarkan perangnya dengan pegawainya itu tentang kewujudan Daniel. Malah Willson menambah yang dia ada bukti zaman persekolahannya yang sunyi sepi dengan kepingan-kepingan foto graduasinya. Tambahan pula dengan wajah penuh tanda soal dari Julie bila dia sebut nama Daniel di hadapan gadis itu.
Enggan untuk mempercayai, dia menyuruh Bianca untuk menyiasat tanpa menimbulkan syak wasangka. “Awak pasti Bianca?”
Gadis itu mengangguk pasti.

Keluhan Allisa semakin berat. Jadi bagaimana Daniel boleh wujud dalam mimpi Suri? Adakah ia hanya mimpi semata-mata? Jika begitu, adakah Daniel juga tidak wujud di rialiti milik Suri? Memikirkan hal itu buatkan hati Allisa kecut. Perlahan dia mengukir senyum tawar pada pegawai-pegawainya. “Baiklah. Untuk malam ini... selamat berhibur,” ucapnya lantas beransur ke biliknya bersama-sama satu perasaan yang berat.   

No comments:

Post a Comment