Tuesday, February 7, 2017

Kopi & Waffle [Part Three]


LUCY tahu kemunculan Yahagi Kiyoshi akan berlaku sesuatu yang buruk. Namun dia tidak menyangka yang pagi itu, wajah Shawn akan muncul di muka pintu kafe dahulu sebelum ketibaan bapa Suri. Dengan angin Suri yang menunggu masa untuk mengganas, kehadiran Shawn pada waktu ini adalah sangat-sangat tidak tepat. Lagipula pada waktu ini, dia sendiri juga berasa marah dengan tindakan ‘tidak senonoh’ Shawn di majlis perkahwinan Yukano Amanda tempoh hari.

Tetapi kenapa saat dia lihat belakang tubuh lelaki itu yang memandang tunangnya pergi dengan badan lemah dan wajah yang kosong itu, dia berasa sedih? Sedih untuk Shawn, lebih sedih untuk Suri.

“Jangan buat apa-apa,” cakap Lucy bila dia lihat Shawn ingin kejar bayang gadis itu.

Shawn pandang wajahnya. Ada keliru, cemas, marah dan terdesak. Namun Lucy tidak akan berganjak dengan pendiriannya tadi.

“Biarkan dia sendiri. Lepas apa yang awak dah buat kat dia, she deserves a space.”

Dahulu dia cemburukan hidup Suri. Anak tunggal dengan peninggalan harta yang bakal diwarisi, popular, cantik, pintar malah berdikari pula itu. Setiap ciri-ciri itu sentiasa buat dia rasa rendah diri dan berasa tidak bersyukur. Namun untuk capai semua itu perlukan pertukaran yang sama harga. Kisah hidup yang sebenar-benarnya jarang dapat orang lihat. Apa yang mata mampu melihat dan menilai hanyalah hijab yang menyelibungi diri seseorang bukannya disebaliknya.

Kebelakangan ini, sejak dia menolong Jun menjadi mata-mata lelaki itu, dia banyak belajar tentang sisi hidup Suri yang tidak semua orang tahu. Yatim piatu, dipulau, dihina malah dipandang serong pula oleh keluarga sendiri, jika dia diberi peluang untuk hidup hidup mewah namun berlatar belakangkan sesuatu seperti itu... penuh sengsara dan duka, dia tidak mahu.

Lucy pandang Fredrick yang kini memandang ke arahnya. Tidak lama dia merenung wajah itu sebelum kembali melihat Shawn yang perlahan-lahan berjalan keluar dari kedai ini. Tanpa niat, dia hela nafas berat. Dia harus segara kembali bekerja tetapi sebelum itu...

“Saya mohon jika anda ada merakam peristiwa tadi tolong tidak sebarkannya di laman media sosial,” ujarnya sedikit kuat supaya seisi kedai mendengar suaranya.

“Ya, jika ada antara saudara/saudari didapati memuat turunkannya di laman media sosial, pihak kami tidak akan teragak-agak untuk mengenakan tindakan undang-undang ke atas pihak saudara/saudari. Sejurus itu saya mohon maaf atas kesulitan ini bagi pihak pengurusan Fiction,” ucap Fredrick dan tindakannya itu buatkan bibir Lucy tersenyum kecil.


MUSIM bunga tiba dan segalanya berlaku dengan pantas. Dalam sekelip mata Suri kini telah menjadi isteri Shawn. Sedangkan di pertengahan musim sejuk baharu ini mereka bertengkar kerana skandal yang wujud akibat daripada sikap Shawn yang tidak matang. Manakala dia pula, tiada apa yang berubah. Dia teruskan hidupnya seperti biasa.

Dia dan semua pekerja Fiction hadir majlis perkahwinan Suri dan Shawn minggu lepas. Gadis itu sedikit terkejut dengan kehadiran mengejut mereka namun Suri terima mereka dengan tangan terbuka. Rahsianya bukan lagi rahsia dan gadis itu sentiasa tersenyum di sisi suaminya. Menipulah siapa yang melihat tidak berasa cemburu. Cemburu yang positif. Lucy bahagia untuk Suri dan dia harapkan kebahagiaan Suri berkekalan.

Sebagaimana dia harapkan kebahagiaan untuk Suri, dia juga harapkan kebahagian untuk hatinya sendiri.
Di majlis itu, Jun sentiasa dalam radar matanya. Dia tidak pernah lepaskan bayang itu pergi kerana dia jarang dapat melihat lelaki itu sejak akhir-akhir ini. Biarpun Fredrick, Jae Rim dan yang lain asyik mengusiknya kerana bersikap begitu, dia biarkan sahaja. Janji dia dapat tarik perhatian Jun untuk pandang ke arahnya, bercakap dengannya dan sentiasa dengannya.

Tamakkan?

Tetapi apa lagi dia boleh harapkan? Dia terlalu rindukan Jun. Sudah terlalu lama dia tidak dengar suara itu sejak insiden di kafe berkaitan bapa Suri. Malah sehingga kini, telefonnya sunyi sepi. Hanya pesanan ringkas spam yang memenuhi kotak pesanan.

Lucy seka air matanya. Dia boleh sahaja telefon Jun, dia pernah telefon sekali tetapi waktu itu deringnya sahaja berbunyi sebelum bersambung dengan peti mesin. Pesanan juga sama. Double-blue-tick, tiada balasan. Sejarah perbualan mereka sebelum ini kebanyakan berkaitan Suri.

Suri.

Suri.

Suri.

Telefon pintarnya diletak tepi. Hatinya pilu. Air matanya tidak berhenti mengalir. Hidungnya berair menyukarkan pernafasan. Sudah dua hari dia tidak pergi kerja dengan alasan cuti sakit. Suhu badannya meningkat sehingga 38.5° dua hari lepas. Orang kata demam musim bunga. Bagi dia ini sakit cinta dan dia berasa seperti orang bodoh.

Nama bapanya tertera di permukaan telefonnya. Dia tarik nafasnya beberapa kali, menyedut-nyedut cecair masuk ke dalam rongga dan menyapu-nyapu sekali air matanya sebelum menjawab panggilan orang tuanya.

“Ya bah?”


TANGISAN semakin lebat walaupun dia cuba kawal. Kelam kabut dia kemas pakaiannya. Dia sudah maklumkan pada Fredrick yang dia akan cuti beberapa hari dan pengurus itu memahami situasinya dan membenarkan cutinya bersambung. Masa-masa beginilah dia berharap yang sebenarnya dia jatuh cinta pada pengurus itu dan bukannya lelaki jahat itu!

Beberapa helai baju, toiletaries, charger dan komputer riba dimuat masuk ke dalam satu beg galas. Tingkap ditutup, gas dimatikan, kunci setiap tingkap dan pintu. Telefonnya yang sedari tadi berkelip-kelip tidak dia hiraukan.

Dengan langkah besar, dia turun anak tangga. Dalam kabur pandangannya itu, dia pastikan dia tidak tersilap pijak. Dia tidak mahu dia pula yang masuk hospital.

Dia hanya tinggal di dalam sebuah bilik cukup fasiliti berdekatan dengan stesen. Murah dan dia mampu untuk biayai. Walaupun kadang-kadang keselamatan dan kekurangan lain menganggunya, dia masih lagi mampu hidup. Cukup dan memadai. Selama ini dia tidak pernah merungut. Tidak sehinggalah hari ini.

Jun tidak pernah datang ke rumahnya tetapi lelaki itu tahu dia tinggal berdekatan dengan stesen. Satu-satunya apartmen murah adalah apartmen ini, jadi tidak susah untuk lelaki itu mencarinya. Persoalannya, kenapa sekarang?

Lucy mengelak bila Jun datang mendekatinya.

Namun Jun tidak mengalah. Dia cuba sekali lagi dan Lucy juga berbuat yang sama.

“Leave me alone,” kata Lucy lansung tidak memandang belakangnya.

“Lucy.”

“Saya taknak tengok awak lagi!” marahnya. Dia berpaling memandang Jun. Matanya sembap dan hingusnya meleleh. Demamnya masih lagi tidak kebah. “Awak seronokkan buat saya macam ni. Saya mungkin ada buat salah dengan awak tapi ini tak bermakna awak boleh buat saya macam ni. Awak cakap saya ni mustahil? Awak lagi mustahil!”

Dia penat. Dia nak jumpa emaknya di kampung. Dia tidak mahu lihat wajah Jun. Apatah lagi berada dekat dengan makhluk tidak berguna itu.

“Lucy.”

“Jangan panggil nama saya!”

Lembut tangan itu memegang sikunya kemudian naik ke bahunya. Dia marah tetapi kenapa dia tidak mampu menolak bila Jun mencabut beg galas dari terus tersarung di bahunya.

“Awak nak pergi mana dengan beg ni?” bisiknya. Ada nada kesal di dalam kata-katanya.

Lucy ketap bibirnya.

“Dengan muka selekeh macam ni?” Jun sapu air mata dan hingusnya dengan hujung lengan kardigan lelaki itu.

“Dengan keadaan awak yang lemah ni, awak nak pergi mana?”

Lucy pandang tepat ke anak mata Jun. Ada senyuman terhias di wajah itu. Lekuk di hujung matanya. Sinar di irisnya. Jika tidak kerana demamnya, dia pasti akan mengamuk sakan sekarang ini. Kerana demamnya inilah, air matanya mudah mengalir.

“Emak saya...” ngongoinya. “Dia... hospital... tandas...”

Kerana demamnya jugalah, dia bercakap seperti anak kecil dan pelukan erat Jun umpama pelukan emaknya yang kini terlantar sakit.


SEKARANG ini wajahnya merah bukan kerana demamnya. Demam dia sudah kebah sejak dia makan ubat yang Jun berikan beberapa jam lepas dan disambung pula dengan tidur yang lena sepanjang menuju ke rumah keluarganya. Lagi-lagi yang memandu itu ialah Jun.

Apa yang membuatkan wajahnya merah bukan kerana dia malu dengan Jun tetapi dia marah dengan ibu dan bapanya.

“Ni apa?!” marahnya saat dia melihat Puan dan Encik Renegard ada di hadapan wajahnya. Tersengih-sengih pula itu.

“Bu– bukan sepatutnya dekat hospital ke?”

Puan Renegard ketawa.

Encik Renegard pula mengeluh kecil. “Dia paksa doktor keluarkan dia dengan cepat.”

“Secepat ni? Kata jatuh tandas. Tu tangan berbalut tu–”

“Cicy sayang, dua hari duduk hospital, ibu bosan...” kata ibunya dengan ketawa manja lagi.

“Dua hari?”

“Sebenarnya...” Encik Renegard teragak-agak untuk memberitahu cerita yang sebenar melihatkan anak daranya berwajah garang sebegitu.

Hidup-hidup Lucy kena tipu dengan orang tuanya. Tidak pernah-pernah dibuat. Macam mana dia hendak berhadapan dengan Jun (yang berdiri di sebelahnya). Lagilah bila memorinya terimbaskan peristiwa beberapa jam lepas. Dia... dipeluk begitu erat oleh Jun...

Poof!

Kalau boleh ternampak asap keluar dari telinga dan atas kepalanya, memang sah dia akan menyorok belakang badan ibunya. Muka merah, tidak mengapa. Marahnya tadi telah meng-camouflage perasaan segan dan malunya. Tetapi perkara yang menyebalkan ini berlaku depan maata dan batang hidung mereka... haaa...

“Tak kenalkan ke ni siapa?” soal Puan Renegard lembut, mengembalikan dia ke alam rialiti.

Lucy pandang ibu bapanya sebelum berkalih memandang Jun yang diam dan setia menunggu di sebelahnya dari tadi. “Urm... ibu abah,” dia jeda dan menyambung bila fokus matanya kembali pada dua wajah yang tidak sabar menanti.

“Kenalkan Mizuno Jun, kawan Cicy.”


DIA bermalam di rumah Lucy atas pelawaan baik keluarga Renegard dan dia terima dengan hati terbuka. Dia sering saja bermalam di rumah kawannya. Lebih-lebih lagi rumah Hiromi yang kosong dan sepi itu. Tetapi rumah Lucy yang jantinanya perempuan dan hanya dia seorang sahaja, tidur malamnya itu tidak lena. Dia asyik terbayangkan wajah Lucy, apatah sepanjang perjalanan tengah hari tadi tuhan berikan dia peluang untuk melihat wajah lena gadis itu. Lagilah dia jadi penasaran malam itu.

Bangun pagi, matanya seolah mata adik tirinya. Lantas dia pergi bersenam dan segarkan tubuhnya (nasib baik dia sudah sedia kasut sukan lebih dalam but kereta).

“Pagi Jun.”

“Pagi uncle.” Dia hulur senyumnya. Steady, cool... Padahal dalam hati rasa macam tidak cukup tanah aja.

Encik Renegard balas senyum. Orang tua itu hanya melakukan beberapa libasan tangan di udara, pusingkan badannya kiri dan kanan. “Rajin jogging. Selalu anak muda bangun bila matahari dah tegak.”

Jun ketawa kecil. Hm, kalaulah dia boleh tidur sehingga begitu sekali...

“Kalau segan nak bangun lewat uncle tak kisah. Awak drive dari ibu kota sampai kampung sini, mesti penat. Tak macam anak dara dalam rumah tu,” Encik Renegard berlulucon. Namun di hujung katanya itu, mata kecil itu meleret penuh makna.

Jun tahan gugupnya lalu mengikut sama membuat senaman kecil.

“Uncle nak tanya...”

Dah mula.

“... betul ke awak dengan Cicy kawan aja?”

Jawapan, sengih aja. “Ya.”

Mata orang tua itu mengecil. “Ya?”

Katanya itu lebih kepada pertanyaan. Jun hanya mengangguk. Dia bercakap benar. “Saya tak berani nak tipu bekas komander askar.”

Jawapan itu buatkan orang tua itu ketawa besar dan Jun ikut ketawa kecil.

“Well, for the time being, yes, you both are friends but afterword still being friends then I assume my daughter lacksCHARMS and hormons,” katanya dalam nada canda namun Jun faham apa maksud tersirat yang dilontarkan.

Dia tidak dapat mengelak daripada membiarkan pipinya hangat di hadapan lelaki tua itu. “She’s hard to predict,” luahnya.

“Same as her mother,” cakap Encik Renegard. Matanya menghala ke arah dalam rumah, terus ke arah dapur, melihat isterinya yang terkial-kial sedang menyudahkan sarapan pagi. Di sebelah wanita itu, Lucy bersungguh membantu. Begitupun, si ibu sempat lagi mengajar anak gadisnya itu dan ini. Seperti bertengkar pun ada juga.

“Dalam keadaan dia yang macam tu, dia tetap berdegil nak buat sendiri dan Cicy ikut perangainya bulat-bulat. Anak uncle, walaupun dia kasar di luar, di dalam dia anak yang manja. Mungkin sebab uncle dulu seorang askar dan auntie pula suri rumah tangga... dia membesar begitu.”

Jun ukir senyum lebar yang dia sendiri tidak perasan sehinggalah bila matanya bertembung pandang dengan bapa Lucy. Dia ketap bibirnya, cuba sorokkan perasaannya namun dia tahu, dia tidak lagi boleh sorok dari pengetahuan lelaki itu.

“Macam ni...” Encik Renegard datang dekat padanya. Nada suara juga rendah. Jun rendahkan badan dan kepalanya, mendengar butir bicara dengan jelas.

“Malam ni uncle dan auntie nak pergi jalan kat pasar, dorang buat festival. I expect good result. Faham tak?”

Jun pandang mata Encik Renegard. Secara tidak lansung senyuman yang dia cuba sorok tadi menjadi semakin jelas. Niat dia untuk pulang tengah hari ini tergendala kerana dia dapat greenLIGHT!

“Baik tuan.”


MALAM-MALAM begini, dia lebih senang duduk di luar, mendengar lagu dan termenung. Perut kenyang dan hati pun tidaklah sesenang mana tetapi dia boleh manage. Jun di dalam bilik sejak petang tadi dan ibu bapanya pula keluar menyambut festival yang jiran-jiran di pasar anjurkan. Dia ingin mengikut namun bapanya menegah.

“Orang sakit duduk rumah.”

“Siapa yang sakit sekarang ni? Isteri abah ke anak abah?”

Bila Encik Renegard tembaknya dengan panahan mata yang menakutkan seperti yang sering dia lakukan pada orang bawahannya, Lucy tutup mulutnya. Dalam hati dia berani memprotes.

“Made a home in a basement,
Didn’t think that I’d need theLIGHT,
Cause all these plans I’ve been making,
Get me out of here in time,

But it’s always two steps backwards,
Too much gravity to feel the highs,
And all these plans I’ve been chasing,
Are getting caught up and wasted,

I don’t know where the money goes,
I get broke as the city glows,
Shines bright as I sink down low, down low...

But I’ve got plans to get to you,
You know, don’t you know...
Gonna build a paper plane and float to you,
You know, don’t you know...”

“Oh Wonder?”

Lucy berpaling dan Jun telah berdiri di belakangnya. Lelaki itu kelihatan santai dalam baju T dan seluar track longgar (baju dan seluar bapa Lucy). Tanpa pelawa, dia duduk di sebelah gadis itu. Tangan yang berada di dalam poket seluar dikeluarkan. Mata memandang ke arah langit.

“Patutlah duduk luar...”

Gadis itu ikut sama memandang ke arah atas. Langit di kampung halamannya dan langit di bandar tampak jauh berbeza. Bintang tidak kelihatan begitu banyak di sana berbanding di sini. Tirainya tidak begitu baldu berbanding di sini. Hanya bulan tampak sama walaupun di mana sahaja manusia berdiri. Kerana itulah bulan dijadikan metafora untuk meluahkan rasa rindu, ia tidak pernah pergi dan berbeza.

Sekilas dia pandang wajah Jun dan menunduk. “Awak bila nak balik?”

Lucy gigit lidahnya. Itu soalan yang tidak disengajakan.

Mata itu meleret ke arahnya tanpa ada niat untuk memusingkan kepala; menjeling. “Sekalipun awak tak suka saya, jangan sampai halau tetamu.”

“Taklah...” nafinya. “... saya tak kisah pun.” Dia bukan tidak suka Jun tinggal di rumahnya dua tiga hari ini tetapi, kalau boleh dia tidak mahu bina harapan palsu. Dia tidak mahu ibu bapanya fikir yang bukan-bukan lagi-lagi diri dia sendiri. Dia sudah cukup tua untuk melalui proses yang meletihkan itu. Jatuh cinta dan kemudiannya kecewa. Dia bukannya gadis 15 tahun dan kuat menangani tekanan. Umurnya sekarang ini, dia mahu cari kehidupan yang stabil, seorang peneman yang mampu dia berkongsi susah dan senang, dan mempunyai zuriat bersama.

Dia seorang wanita yang inginkan sesuatu yang boleh menjamin kebahagiaan di masa hadapan. Ya, dia jatuh cinta dengan Mizuno Jun. Lelaki yang pada mulanya dikenali sebagai seorang pelanggan kemudiannya menjadi kenalan dan akhirnya menjadi kawan dikala lelaki itu didalam kesusahan.

Dia jatuh cinta saat Jun menganggapnya sebagai seorang perempuan yang harus dilindungi dimana selama ini dia fikir wanita mampu hidup berdikari tanpa perlu bantuan seorang lelaki. Sebagaimana ibunya mampu mendokong hidupnya sendirian tanpa bantuan bapanya di rumah. Tetapi dia silap. Puan Renegard mampu menanggungnya kerana adanya Encik Renegard. Ibunya kuat kerana kepercayaan dan cinta yang wujud antara mereka. Kepulangannya ke sini membuka matanya tentang hubungan ibu bapanya.

Dia nak tahu. Dia harus tahu jika dia boleh pasang impian untuk hidup bersama-sama Jun dan perasaannya tidak boleh disimpan terlalu lama kerana takut akan kekecewaan yang lebih perit untuk dia tanggung.

“Jun–”

“Lucy–”

Mereka berpandangan. Mata bertemu mata. Lucy cuba tarik nafasnya yang mula tersekat-sekat di kerongkongnya. Dadanya rasa sempit. Terasa darahnya mula berkumpul di pipinya menjadikan seluruh wajahnya berasa hangat. Matanya melirik ke arah jarinya yang kini perlahan-lahan berada dalam sentuhan jemari Jun. Seluruh bulu romanya meremang saat disentuh begitu dan anak matanya pantas melihat semula ke arah anak mata Jun. Sesuatu sedang bergolak di dalam jiwanya. Kuat dan berkuasa.

Dia telan liurnya perlahan. “Jun...” Suaranya seakan kedengaran dan tidak. Sekejapan, dengan tenaga yang bergolak kuat tadi, mati tiba-tiba saat sesuatu yang lembut hinggap di bibirnya. Penuh hati-hati dan memukau. Ketika ombak yang mati tadi mula berpusar semula, sentuhan itu pergi dan matanya terbuka.

Wajah Jun dihadapannya. Begitu dekat sehingga dia mampu dengar setiap desah nafas itu. Fikirannya buntu dan matanya terkebil-kebil melihat senyuman yang terhias di wajah kacak itu. Beberapa saat berlalu baharu dia tersedar yang bibirnya telah dicuri oleh bibir seksi itu.

Tak, apa yang aku fikir ni?

“Berani awak umph–”

Jun lakukannya lagi. Kali ini lebih berani menentangnya, merobohkannya dan mencairkannya. Bila ianya berakhir, lemah dia longlai dalam dakapan Jun.

Aku mengalah.

“I love you, Lucy.”

Semakin dalam dia benamkan wajahnya di tubuh Jun. Wajahnya semakin panas dan angin sejuk malam itu pun tidak mampu menyelamatkan dia. Sekurangnya dia tahu yang boleh simpan angan-angan impian setiap gadis.

Tidak lama itu, ibu bapanya pulang. Wajah mereka yang terlukis jelas akan perasaan ingin tahu dengan sengihan penuh makna beserta lirik mata tidak Lucy endahkan. Dia nampak Encik Renegard menyiku pinggang Jun manakala ibunya pula asyik bertanyakan apa yang sahaja yang dia lakukan sepanjang mereka tiada tadi. Kasihan melihat Jun asyik disoal bertubi-tubi oleh bapanya itu dan lelaki itu pula seperti tersepit hendak memberitahu atau tidak.

“Jun cakap dia suka Cicy,” cakapnya terus terang malah volum suaranya kuat juga, menarik perhatian pendengaran bapanya dan Jun yang masing-masing sudah terdiam memandangnya sebagaimana ibunya.

“Well, we did kiss but that’s that and abah please stop doing that to Jun.”

Lucy tahu pipinya sudah mula memerah dan kakinya seperti tidak sabar untuk berlari ke biliknya di tingkat atas. Walaupun kering, dia cuba telan juga liurnya. Dia tahu Jun pandangnya begitu juga bapanya termasuk ibunya dengan matanya yang membulat dan seperti bersinar-sinar itu tetapi dia tidak mampu membalas setiap pandangan itu pun dan bergegas ke atas.

“Selamat malam,” ucapnya sebelum menghilang dari ruang tamu itu dan diikuti jerit pekik suka ibunya dan ketawa besar bapanya.

“Cicy kamu balas perasaan Jun?” panggil ibunya masih lagi dengan suara nyaringnya mengintai dari ambang pintu ruang tamu. Lucy hanya membalas dengan hempasan pintu biliknya sambil menekup wajahnya dengan kedua belah tangannya. Macam mana dia nak pulang besok pagi?

Oh tidak...!

No comments:

Post a Comment